Khidmat Sewa Kereta

Saturday, April 5

Rencah Guru Prasekolah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ni saya beralih sikit topik dari yang bersifat akademik kepada santai. Sekadar satu perkongsian. Saya sering berjumpa ramai ibu bapa dan kadang perbualan mengenai anak - anak ini akan begitu mendalam bila mereka tahu saya mengajar prasekolah atau bahasa mudahnya tadika. Antara petikan dialog;


Puan X " kak di rumah memang ajar anak - anak kak. Memang sampai menangis lah. Kadang rasa tak boleh nak bayang macam mana cikgu pra boleh tahan dengan 25 orang budak - budak dalam satu kelas."

Saya " Biasa dah kak. Tapi kerja saya memang akan jadi lebih mudah kalau ibu bapa main peranan di rumah. Sebab bila masuk kelas, anak kak baru nak kenal ABC tapi ada kawan yang sudah boleh baca, ini sikit sebanyak boleh lemahkan semangat. Saya pun terpaksa asingkan mereka dan ajar ikut tahap kemampuan mereka. Kadang - kadang yang sampai yang pandai akan mengadu kebosanan dan yang lemah akan tercicir."


Encik Y " Sekarang ni boleh tahan ye budak - budak kan cikgu. Zaman saya dulu berani ke hendak mengadu dengan ibu bapa, dibelasahnya pula kita."

Saya " Betul la tu bang. Zaman sekarang dah tak sama macam dulu. Sekarang pula ada satu sikap dari ibu bapa yang suka mengadu terus dengan PPD atau JPN. Akhirnya masalah kecil yang boleh selesai di sekolah akan menjadi lebih besar. Lebih teruk lagi sampai masuk suratkhabar. Sudahnya masalah yang sebenar tak selesai tapi masalah lain pula timbul macam cikgu tak peduli murid, hubungan ibu bapa dengan guru renggang, guru bergaduh dengan pentadbir dan macam - macam. Tapi pada saya guru juga kena main peranan, budak zaman sekarang lain, ye lah dengan gajetnya, internetnya, kawan - kawan, guru kena pandai sesuaikan diri dengan zaman sekarang lah."


Cikgu B " Senangnya ajar budak pra. Pukul 1130 dah abis, ajar 25 orang budak - budak jer."

Saya senyum sambil dalam hati " Memang senang pun sebab pahala senang kekal sampai ke tua insyaAllah sebab saya ajar apa yang akan dia guna sampai mati. Kamu ajar dia guna sampai UPSR je. Tapi kena fikir logik, kenapa kita tengok keluarga yang ada 10 adik beradik pun dah dianggap besar, murid tadika 15-20 orang, murid sekolah rendah 30 - 40 orang, sekolah menengah 30-40 orang, di universiti boleh sampai satu dewan, mesti ada rasional. Ajar 25 orang budak 6 tahun terus dari jam 730 - 1130 bukan yang kamu nampak. Ajar budak ABC dan kira 1-10 bukan macam makan kacang. Pokoknya masing - masing ada pro dan kontra, apa kata kita hormat sesama kita, "


Sepanjang tempoh saya bergelar guru pra, saya sudah masak dengan karenah ibu bapa, rakan sejawat, dan masyarakt yang sering memandang rendah kepada guru pra. Namun saya juga selalu mendapat sokongan, bantuan dan dorongan dari yang lain. InsyaAllah saya akan terus mendidik anak bangsa.


Sekian.

Tips Untuk Mengajar High Frequency Words.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ni saya ingin kongsikan tips - tips dalam mengajar HFW. Saya petik ni dari artikel di reading-tutors.com. Harapnya bermanfaat dan dapat dipraktikkan oleh pembaca blog saya.

1. Perkenalkan HFW terus kepada cara penggunaan. Contohnya perkataan saw.  Tulis ayat mudah yang menggunakan perkataan ini seperti  i saw a boat, i saw a ship, i saw a cruise. Garis perkataan saw dan bincangkan dengan murid mengenai penggunaan perkataan saw. Ini berbeza apabila kita menulis perkataan saw dan ajar murid maksud perkataan itu sahaja. 

2. Terdapat perkataan yang mengelirukan antara satu sama lain. Contohnya saw/ was, when/where/ what.  Untuk perkataan yang seakan sama dan mengelirukan, ambil sedikit masa untuk terangkan perbezaan antara perkataan - perkataan ini apabila mengajar murid. Contohnya dengan menerangkan murid perkataan ini bermula dengan huruf apa. saw bermula dengan s dan was bermula dengan w.

3. Galakkan murid untuk mencipta kamus sendiri dan masukkan perkataan HFW dalam kamus tersebut.

4. Bina kad imbas perkataan HFW di rumah dan sekolah. Tunjuk kepada murid satu kad pada satu masa. Minta murid sebut perkataan dalam kad secepat yang boleh.

5. Latih murid untuk menggunakan perkataan HFW dalam konteks ayat. Malah lebih baik sekiranya murid dalam menghafal ayat yang menggunakan perkataan HFW dan memahami konteks penggunaan HFW dalam ayat tersebut.

Itu sahaja untuk hari ni. Jumpa lagi.

Wednesday, April 2

High Frequency Words

Assalamualaikum.

Seperti yang dijanjikan dalam entri saya sebelum ini, kali ini saya akan berkongsi berkenaan dengan High Frequency Words (HFW).

Apa itu HFW? HFW merupakan sekumpulan perkataan yang kerap terdapat dalam semua jenis bahan bacaan. Menurut data, satu kajian telah membuktikan bahawa hanya 13 perkataan yang berlainan membentuk 25% perkataan yang dibaca, dan terdapat 100 perkataan yang membentuk 50% perkataan yang dibaca. Perkataan inilah yang dipanggil HFW.

Terdapat beberapa sebab mengapa HFW perlu diajar secara explicit kepada murid.

  1. Kebanyakan perkataan seperti the, is, to dan are tidak mengikut peraturan standart dalam sebutan fonik dan tidak boleh dibunyikan. Maksudnya perkataan ini biasanya disebut seperti mana perkataan ini perlu disebut.
  2. Murid terus menyebut perkataan ini tanpa perlu mengikut kaedah fonik. Ini lebih mudah bagi murid untuk membacanya.
  3. Kebanyakan perkataan ini tidak membawa maksud secara bersendiri tapi memberi kesan kepada maksud dan konteks ayat. Jadi perlu untuk memahami penggunakan perkataan HFW bagi memahami apa yang dibaca.
 Kenapa saya ingin mengetengahkan HFW,

  1. Murid hilang minat untuk membaca kerana tidak memahami maksud perkataan. Ini kerana mereka cuba memahami setiap perkataan dalam buku. Walhal sekiranya mereka didedahkan dengan HFW, mereka sudah tahu 50% perkataan dalam ayat dan memahami apa yang dibaca.
  2. Murid boleh mengaplikasikan dalam perbualan kerana murid didedahkan dengan perkataan yang dapat membina ayat.


Tajuk seterusnya Tips untuk mengajar HFW. 

Tuesday, April 1

Sambung Belajar

Assalamualaikum.

Mudah - mudahan menjadi manfaat kepada pembaca.

Baru ni saya mendapat mesej daripada rakan - rakan sejawat berkenaan dengan Hadiah Latihan Persekutuan. Program ini merupakan satu inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menggalakkan guru - guru menyambung pengajian dalam peringkat yang lebih tinggi samada dalam pengajian sarjana atau kedoktoran. Terdapat tiga kategori dalam program ini iaitu sepenuh masa (cuti tanpa gaji), separuh masa (biasiswa) dan sepenuh masa (cuti bergaji penuh). Sudah tentu saya ingin memohon pengajian sepenuh masa bergaji penuh. InsyaAllah pertengahan bulan April ni permohonan akan dibuka.

Harapnya saya tidaklah hangat - hangat tahi ayam, saya berminat untuk menyambung dalam peringkat sarjana pada tahun hadapan. Jadi untuk menjadi seorang pelajar kembali, saya perlu melatih diri untuk menulis semula dan semestinya membaca. Jadi saya bercadang untuk menjadikan blog ini sebagai platform untuk saya berkongsi apa sahaja dapatan saya dari kajian, pembacaan malah bahan yang diperoleh sepanjang penjelajahan saya semasa pengajian saya ini. Mudah - mudahan dapat menjadi manfaat kepada pembaca.

Antara perkara utama dalam memohon program ini ialah saya perlu melakukan kajian dalam pendidikan. Perkara utama dalam kajian yang sering memeningkan kepala ialah untuk memilih tajuk yang sesuai dengan bidang, perkembangan semasa, keperluan semasa dan juga selera pensyarah pembimbing. Ada beberapa tajuk yang sedang bermain dalam fikiran saya.

Antara topik yang saya ingin kaji ialah berkenaan dengan teknik mengajar murid prasekolah membaca dalam bahasa Inggeris. Sepanjang tempoh saya mengajar, saya mendapati di Malaysia, guru tidak didedahkan secara sistematik dan berfokus mengenai satu sistem yang teratur dalam mengajar murid membaca. Hasilnya guru mengajar secara mencapah dan akhirnya tidak mencapai objektif iaitu murid tidak boleh membaca dalam bahasa Inggeris.

Tahun 2013 KPM telah memperkenalkan Linus Bahasa Inggeris, kami di sekolah tepuk dahi memikirkan nasib murid. Sedangkan Linus Bahasa Melayu pun belum selesai, inikan pula Bahasa Inggeris. Tahun ini, hasil tinjauan saya mengenai Linus Bahasa Inggeris, dari 8 kelas tahun 1, 4 kelas kebelakang semuanya satu kelas gagal dalam ujian Linus. Satu dapatan yang sangat membimbangkan.

Suka atau tidak, guru - guru prasekolah juga akan terkena tempiasnya, ungkapan seperti "cikgu pra tak ajar ke kat kelas?", "Kamu ni belajar apa di pra?" akan berkumandang.

Jadi saya bercadang untuk mencari satu sistem yang mudah dan sistematik dalam mengajar murid membaca. Antara objektifnya ialah murid dapat membaca buku cerita Bahasa Inggeris yang mudah. InsyaAllah. 

Topik seterusnya ialah "High Frequency Words".