Khidmat Sewa Kereta

Tuesday, December 30

Teknik Mengajar Membaca bahasa Inggeris dengan Starfall #5

 Assalamulaikum,

Sebelum ini saya ada kongsikan tips untuk mengajar bunyi huruf kepada murid. InsyaAllah saya akan kongsikan video bagaimana saya mengaplikasikan teknik tersebut apabila mula persekolahan.

Namun sebelum itu saya kongsikan beberapa tips mudah,

1. Mulakan satu satu. Contohnya chanting dengan bunyi huruf sahaja. Apabila murid lancar tambah lagi dengan contoh huruf.

2. Ulang huruf yang murid suka dahulu. Ini untuk menarik minat murid. Murid akan seronok apabila dia dapat mengikuti sesi. Murid akan hilang minat bila berasa susah atau sukar belajar.

3. Puji murid apabila mereka memberikan respons. Betulkan segera kesilapan murid.

4. Perhatikan mood murid. Teruskan apabila murid suka dan berhenti apabila murid mula berasa bosan.



Hubungi saya di muszt.ahmad@gmail.com sekiranya anda mempunyai sebarang komen, pendapat, atau kritikan terhadap tulisan saya.

Sesi Persekolahan 2015

Assalamualaikum.

Sesi persekolahan akan hanya bermula pada 11 hb atas sebab bencana banjir yang sedang melanda negara kita. Antara negeri yang teruk terjejas ialah Kelantan, Terengganu, Perak, dan Pahang. Negeri Johor seperti sedang menunggu giliran kalau melihatkan trend cuaca sejak dua tiga minggu ni.

Warga guru sudah seminggu berada di sekolah dalam persiapan menghadapi tahun 2015. InsyaAllah ini tahun ke enam saya berkhidmat sebagai guru. Alhamdulillah saya masih lagi berada di sini.

Tahun ni tentu akan memberikan cabaran yang lebih getir. Dalam meneruskan agenda sebagai guru, saya juga perlu memikirkan kelansungan hidup keluarga saya, tahun ni akan terlaksananya GST yang akan memberi kesan kepada harga barang. Saya perlu memikirkan cara untuk menghadapi situasi ini.

Anak sulung saya juga sudah masuk tadika. Mudah-mudahan dia boleh mengikuti pengajaran di tadika. Lucu juga kerana saya mengajar prasekolah tetapi tetap menghantar anak ke tadika. Namun saya ingin dia mendapat pengalaman berinteraksi dengan rakan di sekolah.

Tahun 2015 akan bermula dan saya ingin ada sesuatu yang akan saya lakukan pada tahun ini insyaAllah.

Hubungi saya di muszt.ahmad@gmail.com sekiranya anda mempunyai sebarang komen, pendapat, atau kritikan terhadap tulisan saya.

Saturday, November 29

Pembelajaran Berasaskan Projek

Teks : Mustakim Ahmad


Project Based Learning (PBL) is a model that organizes learning around projects. According to the definitions found in PBL handbooks for teachers, projects are complex tasks,based on challenging questions or problems, that involve students in design, problem-solving,decision making, or investigative activities; give students the opportunity to work relatively autonomously over extended periods of time; and culminate in realistic products or presentations (Jones, Rasmussen, & Moffitt, 1997; Thomas, Mergendoller, & Michaelson, 1999 in John W. Thomas, 2000)

Definisi di atas memberi gambaran pembelajaran berasaskan projek merupakan satu pendekatan yang sangat menarik. Murid akan membentuk satu kefahaman atau pengalaman atau pengetahuan baru melalui satu projek yang dijalankan bersama rakan dengan penglibatan yang minima dari guru. Ini berlaku kerana murid akan mencari jawapan kepada satu - satu isu atau masalah dengan melakukan penyiasatan, ujikaji dan kajian sendiri. Guru akan bertindak sebagai fasilitator dan pemudahcara sepanjang projek dilaksanakan.


Pembelajaran berasaskan projek masih baru di Malaysia, pada tahun 2013 konvensyen pendidikan prasekolah peringkat Kebangsaan meletakkan PBL sebagai tema konvensyen. Peserta akan membentangkan amalan terbaik di kelas yang berasaskan PBL. Saya berpeluang mengikuti konvensyen tersebut dan sangat teruja melihat pembentangan yang dihasilkan oleh guru prasekolah seluruh Malaysia. Berdasarkan pemerhatian saya, budaya PBL sangat menarik untuk diamalkan dan sebenarnya sangat mudah sekiranya difahami dengan baik oleh guru.

InsyaAllah saya akan sambung lagi mengenai PBL di samping projek ebook STARFALL saya.

Friday, November 28

Kursus Pembelajaran Berasaskan Projek

Assalamualaikum,

Bermula dari 24 - 26 Nov lepas, saya bersama sekumpulan guru prasekolah dari daerah - daerah negeri Johor berkumpul di Pusat Latihan Kemajuan Orang Asli untuk menghadiri kursus pembelajaran berasaskan projek. Kursus ini dianjurkan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Johor.

Secara ringkasnya, kursus ini banyak memberi input kepada saya dalam mengaplikasikan projek dalam kelas. Projek merupakan satu pendekatan yang sangat menarik di prasekolah sekiranya di laksanakan dengan betul. InsyaAllah saya akan berkongsikan maklumat lanjut mengenai isi kursus di entri yang lain.

http://cikgufareez.blogspot.com/
Semangat tahun depan untuk melaksanakan projek di kelas saya. InsyaAllah.

Tuesday, November 25

Teknik Mengajar Membaca bahasa Inggeris dengan Starfall #4

Assalamualaikum.

Seperti yang saya janjikan sebelum ini, saya akan kongsikan mengenai teknik untuk mengajar huruf kepada murid. Teknik ini sesuai di gunakan dalam kumpulan kecil atau besar.

Pertama bentuk tiga kumpulan kecil. Setiap kumpulan akan diberikan tugasan.


Kumpulan pertama akan membunyikan nama huruf.

Kumpulan kedua akan membunyikan bunyi huruf.

Kumpulan ketiga pula akan contoh bagi huruf tersebut.


Apa yang perlu cikgu lakukan ialah,

1. Guru akan memegang kad huruf.
2. Guru akan menunjukkan kad huruf kepada murid.
3. Guru akan menunjukkan kad huruf kepada kumpulan 1, kumpulan 1 akan sebut nama huruf.
4. Guru akan menunjukkan kad huruf kepada kumpulan 2, kumpulan 2 akan membunyikan huruf tersebut.
5. Guru akan menunjukkan kad huruf kepada kumpulan 3, kumpulan 3 akan sebut contoh huruf.

Dalam sesi ini, guru tidak perlu menekankan karakter huruf kerana secara tidak langsung telah mengajarnya melalui kad huruf.

Sesi akan bertambah seronok apabila guru menukar peranan kumpulan dan mengulang dengan menunjukkan huruf lain.

Pengalaman saya, murid boleh mengingat elemen huruf yang saya sebutkan dari awal menggunakan teknik ini. Malahan murid boleh menyebut bunyi huruf dengan lancar.

InsyaAllah saya akan muatnaik video sesi ini tahun hadapan.

Saya sangat mengalu - alukan sebarang komen atau pertanyaan. Emailkan kepada saya di muszt.ahmad@gmail.com. 

Monday, November 24

Teknik Mengajar Membaca bahasa Inggeris dengan Starfall #3

Assalamualaikum.

Kita sambung lagi topik teknik mengajar murid membaca menggunakan starfall.com ni.

Pada entri saya  sebelum ini, saya sudah menyentuh mengenai mengenalkan huruf kepada murid dengan menekankan kepada tiga elemen iaitu nama huruf, bunyi huruf, dan karakter huruf.

Kali ini saya akan sentuh pula mengenai pendekatan yang saya gunakan untuk memperkenalkan ketiga - tiga elemen huruf ini kepada murid.

Pertama ialah dengan menggunakan web starfall sendiri.



Saya akan menggunakan huruf 'a' sebagai contoh.

Dalam entri saya sebelum ini, saya ada menunjukkan paparan yang mengandungi semua huruf alphabet. Apabila anda ketik pada satu huruf, paparan yang akan keluar adalah seperti gambar di atas.

Kemudian, anda hanya perlu ketik pada huruf berkenaan dan web ini secara automatik akan mengeluarkan bunyi huruf berkenaan. Anda hanya perlu memberitahu murid, ini huruf 'a' dan bunyinya seperti yang kamu dengar.

Minta murid ulang semula bunyi huruf berkenaan. Mudah kan.

Kemudian anda ketik semula pada anak panah di sudut paparan tersebut, anda akan di bawa ke paparan yang mengandungi huruf dan gambar. Contohnya a apple.






Kita sambung lagi nanti apa pendekatan yang saya gunakan tanpa menggunakan laman web ini.


Saya sangat mengalu - alukan sebarang komen atau pertanyaan. Emailkan kepada saya di muszt.ahmad@gmail.com.


Teknik Mengajar Membaca bahasa Inggeris dengan Starfall #2

Assalamualaikum,

InsyaAllah saya akan sambung lagi berkenaan dengan sesi pembelajaran membaca Bahasa Inggeris dengan menggunakan modul dalam web starfall.com.

Muka hadapan apabila anda melungsuri www.starfall.com
*saya sudah masukkan link ke web tersebut melalui gambar ini. Cuba anda ketik pada gambar.

Secara ringkasnya modul yang terdapat dalam web ini dibahagikan kepada empat bahagian.

1. Bahagian pertama ialah mengenal ABC.

Dalam bahagian ini, murid akan belajar mengenai huruf. Saya akan tekankan kepada tiga elemen penting dalam mengenalkan huruf kepada murid.

Pertama kenalkan nama huruf. Contohnya "this is a letter 'a'"

Kedua kenalkan pula bunyi huruf. Contohnya "the sound of this letter is 'ae'"

Ketiga kenalkan pula karakter atau bentuk huruf. "this is 'a'" dengan menunjukkan kad huruf atau apa - apa simbol yang mewakili huruf tersebut.

Apabila saya mengajar, tiga elemen ini akan di ulang - ulang sehingga habis semua huruf. Cara untuk mengenalkan huruf adalah penting untuk mengelakkan murid cepat bosan.

Cukup dulu untuk pagi ini. Kita sambung nanti.

Saya sangat mengalu - alukan sebarang komen atau pertanyaan. Emailkan kepada saya di muszt.ahmad@gmail.com.

Terima kasih.

Thursday, November 20

Steve Jobs

Assalamualaikum.

Hari ni saya terbaca satu artikel yang sangat menarik di majalah Solusi. Maafkan saya kerana tidak ingat edisi ke berapa.

Artikel mengenai pengasas produk Apple iaitu Steve Job. Beliau merupakan seorang yang sangat berpengaruh di dunia sekarang kerana produk ciptaan terus kekal mekar dan relevan walaupun beliau sudah lama meninggalkan kita.

Antara kandungan artikel ini ialah mengenai bagaimana beliau menjadikan kematian sebagai motivasi beliau untuk mencipta inovasi baru. Beliau sering mencari dan berusaha untuk meninggalkan satu legasi atau impak kerana baginya mati itu sangat dekat dengannya.

Sebagai orang islam, kita diajar oleh Rasul kita bahawa orang yang bijak ialah yang sering mengingati mati. Steve Job nampaknya telah mengajar kita praktis perkara itu,

"kematian bukanlah pengakhiran tapi pembaharuan dan permulaan sesuatu perkara, selepas berlaku kematian akan muncul pula agen pembaharuan yang akan memulakan sesuatu yang baru"

Semalam, saya terkesan dengan pemergian saudara Muhammad bin Mustaffa. Junior semasa di maktab perguruan. Kisahnya sangat meruntun jiwa. Semoga Allah mencucuri rahmatNya kepada arwah.

Persoalan yang berlegar di kepala saya sekarang, sekiranya giliran saya hari ni atau esok, ada benda yang berbaloi kah untuk ummat islah yang saya tinggalkan?


Jalan Mesti Terus

Assalamualaikum.

Hari ni hari terakhir persekolahan bagi negeri Johor. Maka secara rasminya hampir lima tahun sudah saya mengajar. Alhamdulillah sehingga ke hari ni saya masih berkobar - kobar untuk menapak ke kelas setiap hari bagi tahun hadapan.

Bergelar sebagai guru prasekolah atau dalam bahasa mudahnya cikgu tadika bukan perkara mudah lebih-lebih lagi bagi kaum adam. Mendidik anak kecil seramai 25 orang memerlukan tahap kesabaran yang sangat tinggi.

Namun alhamdulillah saya masih di sini.

Ada kawan saya yang sudah bertukar opsyen kerana berasa tidak sesuai di prasekolah.

Seperti yang saya katakan kepada guru besar saya beberapa hari yang lepas,

"Puan, seronok sebenarnya mengajar di kelas pra ni, saya boleh nampak dengan jelas perubahan murid saya. Murid saya masuk di awal tahun tidak boleh membaca, tidak boleh terima arahan, tidak boleh menulis, tidak pandai baca doa namun di akhir tahun semuanya berubah menjadi manusia baru yang lebih baik. Alhamdulillah puan, Allah lorongkan saya ke satu jalan yang saya tidak pernah duga tapi yang sangat bermakna."

InsyaAllah saya akan terus istiqamah.

Sunday, July 6

Teknik Mengajar Membaca bahasa Inggeris dengan Starfall #1

Assalamualaikum.

Sebelum ni saya ada kongsikan mengenai teknik mengajar Bahasa Inggeris melalui pendekatan High Frequency Words. Setelah beberapa kali menjalankan slot saya mendapati beberapa kelemahan yang mungkin berpunca dari saya,

  1. Murid tidak dapat mengaplikasikan secara terus HFW kerana tidak faham dengan penggunaan perkataan.
  2. Saya menghadapi kesukaran untuk menyediakan bahan terutama apabila terdapat program luar yang begitu banyak.
Atas sebab itu, saya cuba mencari kaedah lain dalam mengajar Bahasa Inggeris. Setelah beberapa sesi diskusi dengan rakan, saya memikirkan kaedah saya yang akan digunakan adalah berdasarkan kepada apa yang saya mahu murid kuasai. Adakah saya mahu murid boleh membaca buku BI atau murid saya boleh berkomunikasi dalam BI.

Saya sedar dengan limitasi yang ada pada saya, saya perlu fokus kepada satu kemahiran sahaja dengan harapan murid akan berasa gembira dan seronok sepanjang belajar BI dengan saya.

Jadi saya ingin memfokuskan kepada kemahiran membaca. Kaedah yang akan saya gunakan ialah kaedah fonik.

Medium yang akan saya gunakan ialah starfall.com. InsyaAllah bersambung lagi di entri seterusnya.

Khidmat Sewa Kereta

Assalamualaikum,

Selamat berpuasa.

Alhamdulillah baru - baru ni saya diberi peluang untuk menambah pendapatan secara santai melalui khidmat sewa kereta oleh Tuan Wahi. Beliau merupakan seorang usahawan kereta sewa yang sangat berjaya. Sehingga ke hari ni beliau telah mempunyai cawangan di serata Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang menggunakan label jenama syarikatnya.

Kepada yang ingin mencari khidmat kereta sewa boleh kelik pada banner yang terpapar pada blog saya.

Terima kasih.

Saturday, April 5

Rencah Guru Prasekolah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Hari ni saya beralih sikit topik dari yang bersifat akademik kepada santai. Sekadar satu perkongsian. Saya sering berjumpa ramai ibu bapa dan kadang perbualan mengenai anak - anak ini akan begitu mendalam bila mereka tahu saya mengajar prasekolah atau bahasa mudahnya tadika. Antara petikan dialog;


Puan X " kak di rumah memang ajar anak - anak kak. Memang sampai menangis lah. Kadang rasa tak boleh nak bayang macam mana cikgu pra boleh tahan dengan 25 orang budak - budak dalam satu kelas."

Saya " Biasa dah kak. Tapi kerja saya memang akan jadi lebih mudah kalau ibu bapa main peranan di rumah. Sebab bila masuk kelas, anak kak baru nak kenal ABC tapi ada kawan yang sudah boleh baca, ini sikit sebanyak boleh lemahkan semangat. Saya pun terpaksa asingkan mereka dan ajar ikut tahap kemampuan mereka. Kadang - kadang yang sampai yang pandai akan mengadu kebosanan dan yang lemah akan tercicir."


Encik Y " Sekarang ni boleh tahan ye budak - budak kan cikgu. Zaman saya dulu berani ke hendak mengadu dengan ibu bapa, dibelasahnya pula kita."

Saya " Betul la tu bang. Zaman sekarang dah tak sama macam dulu. Sekarang pula ada satu sikap dari ibu bapa yang suka mengadu terus dengan PPD atau JPN. Akhirnya masalah kecil yang boleh selesai di sekolah akan menjadi lebih besar. Lebih teruk lagi sampai masuk suratkhabar. Sudahnya masalah yang sebenar tak selesai tapi masalah lain pula timbul macam cikgu tak peduli murid, hubungan ibu bapa dengan guru renggang, guru bergaduh dengan pentadbir dan macam - macam. Tapi pada saya guru juga kena main peranan, budak zaman sekarang lain, ye lah dengan gajetnya, internetnya, kawan - kawan, guru kena pandai sesuaikan diri dengan zaman sekarang lah."


Cikgu B " Senangnya ajar budak pra. Pukul 1130 dah abis, ajar 25 orang budak - budak jer."

Saya senyum sambil dalam hati " Memang senang pun sebab pahala senang kekal sampai ke tua insyaAllah sebab saya ajar apa yang akan dia guna sampai mati. Kamu ajar dia guna sampai UPSR je. Tapi kena fikir logik, kenapa kita tengok keluarga yang ada 10 adik beradik pun dah dianggap besar, murid tadika 15-20 orang, murid sekolah rendah 30 - 40 orang, sekolah menengah 30-40 orang, di universiti boleh sampai satu dewan, mesti ada rasional. Ajar 25 orang budak 6 tahun terus dari jam 730 - 1130 bukan yang kamu nampak. Ajar budak ABC dan kira 1-10 bukan macam makan kacang. Pokoknya masing - masing ada pro dan kontra, apa kata kita hormat sesama kita, "


Sepanjang tempoh saya bergelar guru pra, saya sudah masak dengan karenah ibu bapa, rakan sejawat, dan masyarakt yang sering memandang rendah kepada guru pra. Namun saya juga selalu mendapat sokongan, bantuan dan dorongan dari yang lain. InsyaAllah saya akan terus mendidik anak bangsa.


Sekian.

Tips Untuk Mengajar High Frequency Words.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Hari ni saya ingin kongsikan tips - tips dalam mengajar HFW. Saya petik ni dari artikel di reading-tutors.com. Harapnya bermanfaat dan dapat dipraktikkan oleh pembaca blog saya.

1. Perkenalkan HFW terus kepada cara penggunaan. Contohnya perkataan saw.  Tulis ayat mudah yang menggunakan perkataan ini seperti  i saw a boat, i saw a ship, i saw a cruise. Garis perkataan saw dan bincangkan dengan murid mengenai penggunaan perkataan saw. Ini berbeza apabila kita menulis perkataan saw dan ajar murid maksud perkataan itu sahaja. 

2. Terdapat perkataan yang mengelirukan antara satu sama lain. Contohnya saw/ was, when/where/ what.  Untuk perkataan yang seakan sama dan mengelirukan, ambil sedikit masa untuk terangkan perbezaan antara perkataan - perkataan ini apabila mengajar murid. Contohnya dengan menerangkan murid perkataan ini bermula dengan huruf apa. saw bermula dengan s dan was bermula dengan w.

3. Galakkan murid untuk mencipta kamus sendiri dan masukkan perkataan HFW dalam kamus tersebut.

4. Bina kad imbas perkataan HFW di rumah dan sekolah. Tunjuk kepada murid satu kad pada satu masa. Minta murid sebut perkataan dalam kad secepat yang boleh.

5. Latih murid untuk menggunakan perkataan HFW dalam konteks ayat. Malah lebih baik sekiranya murid dalam menghafal ayat yang menggunakan perkataan HFW dan memahami konteks penggunaan HFW dalam ayat tersebut.

Itu sahaja untuk hari ni. Jumpa lagi.

Wednesday, April 2

High Frequency Words

Assalamualaikum.

Seperti yang dijanjikan dalam entri saya sebelum ini, kali ini saya akan berkongsi berkenaan dengan High Frequency Words (HFW).

Apa itu HFW? HFW merupakan sekumpulan perkataan yang kerap terdapat dalam semua jenis bahan bacaan. Menurut data, satu kajian telah membuktikan bahawa hanya 13 perkataan yang berlainan membentuk 25% perkataan yang dibaca, dan terdapat 100 perkataan yang membentuk 50% perkataan yang dibaca. Perkataan inilah yang dipanggil HFW.

Terdapat beberapa sebab mengapa HFW perlu diajar secara explicit kepada murid.

  1. Kebanyakan perkataan seperti the, is, to dan are tidak mengikut peraturan standart dalam sebutan fonik dan tidak boleh dibunyikan. Maksudnya perkataan ini biasanya disebut seperti mana perkataan ini perlu disebut.
  2. Murid terus menyebut perkataan ini tanpa perlu mengikut kaedah fonik. Ini lebih mudah bagi murid untuk membacanya.
  3. Kebanyakan perkataan ini tidak membawa maksud secara bersendiri tapi memberi kesan kepada maksud dan konteks ayat. Jadi perlu untuk memahami penggunakan perkataan HFW bagi memahami apa yang dibaca.
 Kenapa saya ingin mengetengahkan HFW,

  1. Murid hilang minat untuk membaca kerana tidak memahami maksud perkataan. Ini kerana mereka cuba memahami setiap perkataan dalam buku. Walhal sekiranya mereka didedahkan dengan HFW, mereka sudah tahu 50% perkataan dalam ayat dan memahami apa yang dibaca.
  2. Murid boleh mengaplikasikan dalam perbualan kerana murid didedahkan dengan perkataan yang dapat membina ayat.


Tajuk seterusnya Tips untuk mengajar HFW. 

Tuesday, April 1

Sambung Belajar

Assalamualaikum.

Mudah - mudahan menjadi manfaat kepada pembaca.

Baru ni saya mendapat mesej daripada rakan - rakan sejawat berkenaan dengan Hadiah Latihan Persekutuan. Program ini merupakan satu inisiatif Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menggalakkan guru - guru menyambung pengajian dalam peringkat yang lebih tinggi samada dalam pengajian sarjana atau kedoktoran. Terdapat tiga kategori dalam program ini iaitu sepenuh masa (cuti tanpa gaji), separuh masa (biasiswa) dan sepenuh masa (cuti bergaji penuh). Sudah tentu saya ingin memohon pengajian sepenuh masa bergaji penuh. InsyaAllah pertengahan bulan April ni permohonan akan dibuka.

Harapnya saya tidaklah hangat - hangat tahi ayam, saya berminat untuk menyambung dalam peringkat sarjana pada tahun hadapan. Jadi untuk menjadi seorang pelajar kembali, saya perlu melatih diri untuk menulis semula dan semestinya membaca. Jadi saya bercadang untuk menjadikan blog ini sebagai platform untuk saya berkongsi apa sahaja dapatan saya dari kajian, pembacaan malah bahan yang diperoleh sepanjang penjelajahan saya semasa pengajian saya ini. Mudah - mudahan dapat menjadi manfaat kepada pembaca.

Antara perkara utama dalam memohon program ini ialah saya perlu melakukan kajian dalam pendidikan. Perkara utama dalam kajian yang sering memeningkan kepala ialah untuk memilih tajuk yang sesuai dengan bidang, perkembangan semasa, keperluan semasa dan juga selera pensyarah pembimbing. Ada beberapa tajuk yang sedang bermain dalam fikiran saya.

Antara topik yang saya ingin kaji ialah berkenaan dengan teknik mengajar murid prasekolah membaca dalam bahasa Inggeris. Sepanjang tempoh saya mengajar, saya mendapati di Malaysia, guru tidak didedahkan secara sistematik dan berfokus mengenai satu sistem yang teratur dalam mengajar murid membaca. Hasilnya guru mengajar secara mencapah dan akhirnya tidak mencapai objektif iaitu murid tidak boleh membaca dalam bahasa Inggeris.

Tahun 2013 KPM telah memperkenalkan Linus Bahasa Inggeris, kami di sekolah tepuk dahi memikirkan nasib murid. Sedangkan Linus Bahasa Melayu pun belum selesai, inikan pula Bahasa Inggeris. Tahun ini, hasil tinjauan saya mengenai Linus Bahasa Inggeris, dari 8 kelas tahun 1, 4 kelas kebelakang semuanya satu kelas gagal dalam ujian Linus. Satu dapatan yang sangat membimbangkan.

Suka atau tidak, guru - guru prasekolah juga akan terkena tempiasnya, ungkapan seperti "cikgu pra tak ajar ke kat kelas?", "Kamu ni belajar apa di pra?" akan berkumandang.

Jadi saya bercadang untuk mencari satu sistem yang mudah dan sistematik dalam mengajar murid membaca. Antara objektifnya ialah murid dapat membaca buku cerita Bahasa Inggeris yang mudah. InsyaAllah. 

Topik seterusnya ialah "High Frequency Words".