Khidmat Sewa Kereta

Wednesday, October 16

Kaedah Membaca Kalam

Bismillah,

Assalamualaikum. Mudah-mudahan kita semua sentiasa berada dalam rahmat dan lindungan Allah s.w.t.

Sekian lama tidak menulis dalam blog ini, walaupun beberapa kali dijemput secara halus oleh Puan Masayu, akhirnya saya berkesempatan juga untuk meluangkan sedikit masa mengisi blog. Mudah - mudahan perkongsian saya akan memberi sedikit manfaat kepada pembaca sekalian. Suka untuk saya ingatkan diri saya terutamanya, tulisan saya bukan bermaksud saya seorang pakar atau bijak pandai dalam bidang pendidikan prasekolah ini, namun sekadar perkongsian dari secubit pengetahuan dan pengalaman sepanjang berada dalam bidang prasekolah.



Maudu' saya pada hari ini ialah mengenai satu kaedah membaca yang dipraktikkan oleh saya di kelas iaitu dengan menggunakan buku KALAM. Kaedah ini menggunakan tiga buah buku iaitu buku 1, buku 2, dan buku 3 ditulis oleh Puan Baidah binti Sabran.

Sepanjang menggunakan kaedah ini, saya mendapati beberapa kelebihan yang boleh dikongsikan,

1. Kaedah ini lebih mudah dikendalikan dalam kelas saya iaitu seramai 25 orang. Perlu diingat latar belakang murid prasekolah kebanyakan dari keluarga berpendapatan rendah. Jadi terdapat murid yang hanya memulakan pendidikan formal di kelas prasekolah berbanding dengan tadika swasta yang rata-rata mula bersekolah sejak dari usia 4 tahun. Kaedah ini mudah dikendalikan kerana telah disusun secara mudah dan sistematik. Buku 1 menyentuh abjad A hingga Z. Buku 2 murid mula membatangkan perkataan KVKV. Buku 3 murid akan membaca perkataan KVK hingga boleh membaca ayat mudah dan ringkas.

2. Kelebihan paling penting ialah ibu bapa dapat membantu saya memantau murid di rumah. Dari pemerhatian saya, ibu bapa hanya perlu diberitahu mukasurat buku murid dan mereka boleh bantu murid membaca dengan lebih cepat di rumah. Apabila terdapat sokongan daripada ibu bapa, kerja saya menjadi lebih mudah dan murid dapat membaca dengan lebih cepat.

3. Kaedah ini juga disusun selari dengan kehendak LINUS. LINUS atau Saringan Literasi dan Numerasi bermatlamat untuk memastikan murid menguasai kemahiran asas Literasi dan Numerasi di akhir 3 tahun persekolahan di sekolah rendah. Murid akan diuji seawal bulan 3 di tahun 1 untuk memastikan penguasaan kemahiran membaca dan matematik mereka. Sekiranya mereka gagal, mereka akan dimasukkan ke dalam kelas pemulihan dan kesannya mereka akan ketinggalan berbanding dengan murid yang lulus dari segi silibus pelajaran. Kaedah ini selari dengan LINUS kerana dalam saringan LINUS murid dikehendaki mengecam huruf, membatangkan perkataan dan membaca ayat mudah.

Namun terdapat beberapa lagi kaedah membaca di negara kita. Antaranya ialah kaedah fonetik yang dipopularkan melalui buku Bacalah Anakku.

Sekian daripada saya. Terima kasih kerana sudi membaca. Komen dan cadangan sangat dialu-alukan.



Boleh layari blog ini untuk mendapatkan maklumat kaedah KALAM.

Sekian wassalam.

muszt/muszt.

No comments: