Khidmat Sewa Kereta

Thursday, July 11

Bergelar Guru Prasekolah



Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Sepanjang bergelar guru prasekolah, saya sering diajukan dengan satu soalan ;


"Memang berminat ke untuk menjadi guru prasekolah?"


Jawapan saya pelbagai bergantung kepada mereka yang bertanya, masa dan tempat ketika soalan diajukan.
 

Disini, saya lebih suka untuk memberikan kronologi bagaimana saya boleh terjebak dalam bidang ini. Terpulang kepada pembaca untuk menilai samada saya berminat atau tidak untuk menjadi guru prasekolah. 


Sedikit latar belakang, saya tidak pernah terlintas untuk menjadi seorang guru prasekolah. Mungkin kerana saya tidak pernah mengalami pengalaman tadika menyebabkan guru prasekolah langsung tidak berada dalam kamus hidup saya. Saya hanya sempat untuk ke tadika untuk beberapa hari sahaja. Ceritanya saya berasa sangat malu dan takut kerana lambat hadir ke tadika. Belum lagi masuk kelas saya dah lari balik ke rumah. Kemudian langsung saya tidak mahu ke tadika. 


Namun perancangan Allah yang lebih baik, saya akhirnya bergelar juga guru prasekolah atau cikgu tadika. Semuanya bermula apabila saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang pendidikan prasekolah. Sebelumnya saya baru tamat kursus persedian perguruan tetapi dalam bidang Kajian Sosial. Memang saya langsung tidak menyangka akan mendapat kursus pendidikan prasekolah. Perasaan pada ketika itu memang bercampur baur. Mulanya saya tidak mahu tetapi memandangkan tiada pilihan jadi saya teruskan juga dalam bidang prasekolah.


Walaupun ketika itu, kawan-kawan saya ada yang ingin menukar bidang kursu termasuklah saya, namun saya tetap dalam prasekolah. Alhamdulillah akhirnya saya berjaya juga menamatkan pengajian saya. Sedikit sebanyak minat saya dalam bidang ini semakin mekar walaupun sedikit. Cabaran dalam bidang ini tetap mencabar walaupun hanya berhadapan dengan murid berumur 5 hingga 6 tahun. 


Dalam tempoh empat tahun saya telah mengajar, sedikit sebanyak saya mula jatuh cinta dengan bidang prasekolah apabila melihat kemenjadian murid saya. Saya dapat melihat perubahan yang sangat ketara berbanding sewaktu saya mula berjumpa dengan mereka dengan ketika hujung tahun. Contohnya ada yang langsung tidak mahu bercakap dengan saya dan selalu menangis dalam kelas, tetapi selepas beberapa bulan menjadi murid yang paling akrab dengan gurunya.


 
InsyaAllah mudah-mudahan saya akan terus istiqamah dalam mengajar. 

Sekian, Moga kita berjumpa lagi.


Wednesday, July 10

Awal Ramadhan


 
Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Kesibukan menyambut ahli baru dalam keluarga dan menguruskan program - program prasekolah dan sekolah betul - betul melelahkan. Saya sendiri sebenarnya agak ralat apabila tidak dapat meluangkan masa untuk mengisi sedikit catitan dalam blog ni. Walaupun hampir sebulan membuka blog ini, namun hanya satu entri pengenalan berjaya saya siapkan. Alhamdulilllah hari ni cuti umum bagi Johor sempena awal ramadhan dan saya berkesempatan juga untuk menjenguk blog ni.

Awal ramadhan sekali lagi telah menjelma dan syukur kita masih lagi diberi kesempatan untuk berada dalam bulan yang penuh berkah ni. 

Rasulullah s.a.w bersabda :

“Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan
dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, dosanya yang telah lalu telah diampuni (oleh Allah)”
 
(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Iman – no: 38)

Mari kita sama-sama berlumba untuk menggunakan sepenuhnya tenaga dan usaha untuk mengaut sebanyak mungkin pahala dan maghfirah dari Allah s.w.t.

Bulan puasa banyak mengingatkan saya mengenai pengalaman berpuasa di SK Masaum, Telupid Sabah. Berada dalam komuniti kristian memang memberi satu pengalaman yang sangat bermakna kepada saya.

Pintu masuk ke Kampung Masaum. Kita akan menempuh SK Masaum selepas melalui pintu ini. Laluan ke Kampung Masaum adalah mengikut jalan lain.

Antara perkara yang lekat di memori saya ialah semasa bersahur dan berbuka. Saya dan rakan serumah biasa akan bangun seawal jam 330 pagi untuk bersahur. Biasanya makanan bersahur ialah lebihan makanan semasa berbuka. Antara menu wajib semasa bersahur ialah nasi putih dan serunding (dibekalkan oleh isteri saya untuk stok sebulan). Saya tidak ada banyak pilihan, kadang-kadang saya hanya minum air masak sekadar mengambil kelebihan bersahur. 

Semasa berbuka pula saya dan rakan serumah akan masak secara bergilir-gilir. Tetapi kebanyakan masa kami akan masak bersama-sama. Menu wajib bagi berbuka ialah makanan dalam tin dan sayur kubis. Lauk segar sangat sukar diperoleh dan kalau ada hanya bertahan satu atau dua hari kerana tiada peti ais.(malahan tiada elektrik). Gerun juga mendengar cerita-cerita bahaya makanan segera dalam tin kerana kami makan setiap hari, tetapi mengenangkan hanya itu sahaja pilihan yang ada, kami pasrah sahaja.

Cabaran mengajar lebih memenatkan. Pertama semua murid saya juga tidak berpuasa. Jadi jadual makan mereka berjalan seperti biasa. Kedua yang lebih memenatkan saya ialah saya tidak mempunyai pembantu (PPM) untuk satu tempoh yang agak lama. Sayalah yang mengajar, melayan murid, mengemas kelas malahan turut memasak. Kesian juga apabila memikirkan apalah yang dirasa oleh murid-murid saya kerana saya ni sangatlah pandai memasak. hehe. Mujur anak-anak murid saya di sana tidak merungut.Habis sesi kelas saya terus balik rumah dan tidur kerana terlalu kepenatan.

Cuaca yang agak panas di sana juga merupakan satu cabaran. Walaupun kedudukan sekolah yang jauh ke dalam hutan, namun suasana hutan di sana telah lama tiada. Rakusnya manusia menarah hutan untuk projek peladangan kelapa sawit menyebabkan tiada lagi pokok-pokok besar untuk berteduh. Malahan sungai sentiasa keruh kerana aktiviti di pembalakan di hulu. Cuaca panas menyebabkan adakalanya saya terpaksa tidur bersebelahan bilik air untuk mendapatkan sedikit hawa dingin air. Kebanyakan masa siang lebih banyak dihabiskan dalam rumah.

Saya hanya berkesempatan untuk berada di sana selama dua tahun. Alhamdulillah pada 2012 saya telah dihantar untuk bertugas di Pasir Gudang, Johor Bahru.

Di lain catitan saya akan kongsikan lagi pengalaman saya sepanjang mengajar di sana. Satu pengalaman yang sangat mencabar dan menyeronokkan walaupun kadang-kadang saya BERTARUNG NYAWA!. 

Sekian untuk kali ni. Moga kita berjumpa lagi.