Khidmat Sewa Kereta

Sunday, June 23

Salam Perkenalan

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Syukur Alhamdulillah akhirnya saya dapat menjadikan blog saya sebagai medium saya untuk berinteraksi dengan masyarakat.

Nama saya Mustakim bin Ahmad. Saya bekerja sebagai guru prasekolah di sebuah sekolah di Pasir Gudang, Johor. Saya merupakan satu - satunya guru prasekolah lelaki di daerah ini. Saya mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Keguruan (Pendidikan Prasekolah) dari Institut Pendidikan Guru Malaysia kampus Pendidikan Islam, Bangi. Saya berasal dari Gerik, Perak.

Saya mempunyai pengalaman mengajar prasekolah selama empat tahun. Mula mengajar di Sekolah Kebangsaan Masaum di Telupid, Sabah. Selepas dua tahun di sana, saya telah diluluskan untuk berpindah ke daerah Pasir Gudang. Alhamdulillah saya sangat bersyukur berada dalam bidang pendidikan prasekolah. Banyak pengalaman manis walaupun baru menjangkau empat tahun perkhidmatan.

Mengajar kanak-kanak prasekolah memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Saya yang mempunyai dua orang anak kadang-kadang hilang sabar dengan telatah anak saya, inikan pula kalau dalam kelas ada 25 orang anak yang sebaya. Memang haru biru jadinya. Memang kalau ikutkan minat, saya telah lama meninggalkan bidang pendidikan prasekolah tetapi perancangan Allah yang lebih baik. Sedikit demi sedikit saya mula merasakan keindahan dalam bidang ini.

Antara yang lebih menyentuh hati saya apabila melihat murid saya akhirnya dapat membaca, menulis dan mengira. Walhal pada awal tahun, mereka lihat saya pun boleh menangis. Saya masih ingat ketika di Sabah, semua murid lari ke hutan apabila melihat saya kerana takut dengan orang luar. Tambahan mereka masih kecik. Apabila saya pegang mereka, habis tangan saya dicakar dan digigit. Tetapi setelah beberapa bulan, mereka berlari mendapatkan saya apabila melihat saya datang ke sekolah. Seronoknya waktu hanya Allah yang tahu.

Cukup dengan pengalaman saya. Saya melihat pendidikan prasekolah di Malaysia telah mengalami perkembangan yang sangat positif. Malahan sambutan daripada ibu bapa sangat menggalakkan. Pada tahun 2012 kadar kanak-kanak berumur enam tahun yang telah memulakan pembelajaran di sekolah atau premis lain telah mencapai 90 peratus. Malah kewujudan tadika dan pusat pembelajaran awal kanak-kanak tumbuh bak cendawan tumbuh selepas hujan di merata-rata.

Kesedaran sebegini di kalangan ibu bapa perlu dipupuk dengan cara yang betul. Ibu bapa perlu mengambil langkah proaktif dalam membantu perkembangan dan pertumbuhan anak mereka. Tindakan menghantar anak mereka ke tadika paling mahal tidak menjamin anak mereka akan berjaya. Malahan dari pengalaman saya, ada murid yang sudah boleh membaca walaupun tidak pernah ke sekolah atau tadika. Malangnya ada juga yang belum lancar membaca walaupun sudah ke tadika seawal 4 tahun.

Dalam perbincangan saya dengan ibu bapa, sering saya tekankan betapa pentingnya penglibatan aktif ibu bapa dalam pendidikan anak mereka. Sikap mengambil tahu, ambil berat sangat penting dalam memantau perkembangan anak mereka di sekolah. Saya berharap dengan terbinanya blog ini, ibu bapa dapat mengambil sedikit input dan informasi agar dapat membantu anak mereka.

Bukan niat saya hendak menunjuk pandai. Malahan saya bukanlah orang yang layak untuk menjadi pakar rujuk. Namun saya berniat semoga usaha kecil saya ini dapat membantu memberi sedikit panduan kepada semua yang sudi membaca blog saya. InsyaAllah moga - moga Allah merahmati dan memberkati usaha kita. 

InsyaAllah kita akan berjumpa lagi. Selamat berkenalan.